Tuesday, August 30, 2011

Kedah tagih magis Wan Jamak

KEDAH (jersi hijau) dilihat konsisten dalam saingan Liga Super musim ini.

SENTUHAN magis Wan Jamak Wan Hassan menjadi taruhan terbaik Kedah bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang akan bermula 6 September depan.

Dua tahun lalu, Wan Jamak membuktikan betapa bisanya sentuhan beliau apabila menjulang Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia.

Kejayaan itu dianggap cukup manis kerana ia telah mengakhiri penantian Negeri Sembilan selama 61 tahun untuk mendakap piala berprestij dalam kancah bola sepak negara itu.

Kini Wan Jamak yang juga bekas jurulatih skuad kebangsaan, mahu meneruskan kejayaan gemilang itu bersama skuad Hijau Kuning.


Friday, August 19, 2011

Azmizi enggan 'kena peram'

Azmizi Azmi (tibo) berjersi biru

“SEBAGAI pemain yang beraksi atas tiket ‘pinjaman’ maka kelibat saya sememangnya menjadi perhatian banyak pihak bukan saja pengurusan pasukan, malah peminat. Justeru, saya tidak perlu sentiasa berada pada tahap terbaik mempamerkan aksi cemerlang pada setiap perlawanan,” kata Azmizi Azmi.
Bekas kapten Perlis yang dipinjamkan ke Kedah untuk saingan Piala Malaysia mahu berada dalam kesebelasan utama dan bukan hanya memanaskan bangku simpanan.


Kenari jangan pandang rendah lawan – Wan Jamak

ALOR SETAR – Meskipun saingan Liga Super musim ini menyaksikan Kedah berada pada kedudukan lebih atas, namun jurulatih Sang Kenari, Wan Jamak Wan Hassan tidak mahu anak buahnya memandang rendah keupayaan tiga lagi pasukan dalam Kumpulan A Piala Malaysia.

Pengendali dari Johor itu menganggap cabaran Johor, Perak dan Sabah dalam kumpulan berkenaan adalah terbuka dan mampu membuatkan pasukan Hijau Kuning ‘berputih mata’ untuk layak ke pusingan kalah mati jika para pemainnya mengambil sikap sambil lewa.


Wednesday, August 17, 2011

Marlon Minat Kedah

Marlon James
MARLON Alex James serta beberapa pemain pertahanan dijangka tiba di Alor Setar pada pertengahan Oktober ini bagi mencuba nasib beraksi untuk Kedah mengharungi musim 2012.
Marlon bukanlah asing kepada ribuan peminat pasukan Hijau Kuning kerana dia berjaya membantu Kedah meraih tiga kejuaraan selama dua musim berturut-turut.

Malah dia juga berjaya memenangi kasut emas Liga Super 2007 dan gol pada dua final Piala Malaysia pasti masih segar dalam ingatan peminat setia Kedah.
Bagi memastikan Kedah dapat mengatasi masalah di bahagian serangan, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengambil keputusan mendapatkan khidmat Marlon semula bersama seorang lagi pemain pertahanan.

Sunday, August 14, 2011

Marlon bakal kembali ke Kedah

Marlon bersama Vancouver Whitecaps FC
Selepas berita mengenai Nelson Sam  Martin ingin kembali ke Liga Malaysia musim depan, kini berita mengenai Marlon Alex James pula kedengaran. Penyerang berusia 34 tahun ini yang bersama Kedah dari tahun 2006-2008 ini telah menjaringkan 44 gol untuk Kedah dan telah mempamerkan aksi bersama kedah sebanyak 44 kali.

Dalam mesyuarat KFA, ahli majlis KFA telah memutuskan ingin mengintai bekas penyerang Kedah FA pada musim 2006-2008 untuk kembali bersama Kedah pada musim hadapan iaitu Musim 2012. Marlon dipilih kerana mempunyai ciri-ciri menyerang dengan pantas dan rembatan kencang yang sering mengelirukan penjaga gol pihak lawan.

Saturday, August 13, 2011

Baddrol Bakhtiar mungkin disambar Wigan

Baddrol Bakhtiar (jersi Biru)
Berita1Ogos2011dari: http://www.eyefootball.com/

Wigan telah membuat satu percubaan yang mengejutkan untuk Baddrol Bakhtiar. Beliau seorang pemain kebangsaan dari Malaysia dan bermain di Kedah FA. Pemain ini sangat cemerlang kebalakangan ini di dalam Liga Perdana Malaysia dan beliau akan diberi tempoh percubaan di Latics.

Menurut sumber-sumber dari Malaysia, Baddrol sangat dipandang tinggi di tanah air beliau iaitu Malaysia. Beliau seorang pemain sayap dan juga boleh bermain di depan, beliau dikenali kerana mempunyai gaya menyerang dan kebolehan menggelecek.

Baddrol telah menghabiskan masa yang agak lama di England, beliau telah menghabiskan banyak masa dengan Chelsea di Stamford bridge selama dua minggu. Dalam masa itu beliau sudah biasa dengan standard bola sepak yang diperlukan dalam Liga Perdana Inggeris.


Wednesday, August 10, 2011

SAM MARTIN kembali sarung jersi Kenari?


ALOR SETAR _ Kelibat bekas pemain import berpengaruh Kedah, Nelson Sam Martin dijangka kembali mewarnai saingan bola sepak Liga Malaysia musim depan apabila sentuhannya dikhabarkan diintai oleh beberapa pasukan dalam Liga Super.

Menurut sumber, selain pasukan lamanya, khidmat pemain dari Chile yang memainkan watak penting sewaktu membantu Kedah muncul juara treble berganda empat tahun lalu turut diintai oleh dua pasukan gergasi masing-masing dari Lembah Klang dan pantai timur.

Bagaimanapun, pemain tengah yang terkenal dengan hantaran tepat serta mengelirukan lawan itu dikatakan telah menyatakan minat untuk kembali menyarung jersi Hijau Kuning.

Ketika beraksi bersama skuad Sang Kenari, Sam Martin bergandingan dengan dua lagi pemain import iaitu Bernard Hugging dan Marlon Alex James telah membantu pasukan Kedah mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2007 serta 2008.
Aksi pemain import kembali menjadi bualan peminat sukan bola sepak negara apabila khidmat mereka yang berakhir pada musim 2007-08 dibenarkan kembali oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada musim depan.


Saturday, August 6, 2011

Laluan mudah untuk Kelantan dan Terengganu dalam undian Piala Malaysia 2011.



JUARA bertahan, Kelantan dilihat tidak mempunyai masalah besar untuk melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2011 apabila diundi bersama-sama Johor FC, Felda United dan Sarawak.
Cabaran lebih getir yang menanti juara Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah itu adalah di suku akhir dengan juara Piala FA musim ini, Terengganu atau naib juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan yang berada dalam Kumpulan B dijangka menanti.

Namun bukan itu yang menjadi persoalan utama yang bermain dalam benak fikiran pengendali Kelantan, Datuk M Karathu.
The Red Warriors berkemungkinan besar tidak akan dapat menggunakan khidmat penjaga gol utamanya, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Izuan Solahuddin sekiranya khidmat kedua-dua pemain tonggaknya diperlukan oleh skuad Olimpik negara pada September ini.

“Saya harap mereka dapat kembali bersama Kelantan. Namun kami mempunyai Mohd Shahrizan Ismail yang tidak bolos dalam tiga perlawanan ketika diturunkan sebelum ini dan saya percaya dengan kemampuannya mengawal gawang sekiranya Khairul Fahmi tiada,”katanya semalam.

Ketiadaan dua pemain utama itu diburukkan lagi dengan empat pemain utama Kelantan yang kini bersama skuad kebangsaan menjalani latihan pusat iaitu S Chanturu, Mohd Shakir Saari, Mohd Farisham Ismail dan Rizal Fahmi Abd Rosid selain Norshahrul Idlan Talaha yang masih mengalami kecederaan hamstring.
“Saya berharap dapat mengumpulkan mereka secepat mungkin apabila sesi latihan pusat tamat untuk membentuk kembali persefahaman serta momentum kerja sepasukan. Kami akan mengadakan sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan untuk menghadapi Piala Malaysia ini,”katanya.

Juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor pula mengetuai kumpulan D bersama-sama T-Team, Kuala Lumpur dan PDRM.
Selangor yang sudah dua tahun berturut-turut tersekat di suku akhir dijangka menghadapi saingan sengit T-Team yang menewaskan mereka dua kali dalam saingan Liga Super musim ini selain Kuala Lumpur yang turut mampu melakukan kejutan.

Manakala Kedah menjadi pilihan untuk menjuarai Kumpulan A dengan Perak, Sabah dan Johor menjadi penghalang.

Saingan Piala Malaysia 2011 bermula 6 September ini dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 4 dan 8 Oktober manakala perlawanan akhir dijadualkan pada 29 Oktober.

Sumber: Arena Metro

Kedudukan Pasukan Dalam Piala Malaysia 2011 dan Jadual Perlawanan



Jadual Penuh Piala Malaysia 2011

Jadual Perlawanan Peringkat Kumpulan:

Pusingan Pertama: 6, 10 dan 13 September 
Pusingan Kedua: 17, 24 dan 27 September
Lihat Di Bawah Untuk Jadual Suku Akhir, 
Separuh Akhir dan FINAL
Jadual Suku Akhir (4 dan 8 Oktober 2011):

Juara Kumpulan A vs N.Juara Kumpulan D
Juara Kumpulan B vs N.Juara Kumpulan C
Juara Kumpulan C vs N.Juara Kumpulan B
Juara Kumpulan D vs N.Juara Kumpulan A
Jadual Separuh Akhir (14 dan 22 Oktober 2011):

Juara A / N.Juara D vs Juara C / N.Juara B
Juara B / N.Juara C vs Juara D / N.Juara A
Jadual Perlawanan Akhir: 29 Oktober 2011

Friday, August 5, 2011

Undian Piala Malaysia 2011. Kelantan, NS satu kumpulan?


FINALIS dua edisi Piala Malaysia berturut-turut, Kelantan dan Negeri Sembilan sekali lagi berdepan kemungkinan berada satu kumpulan pada majlis undian di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang ini.

Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia musim 2009 selepas menewaskan Kelantan 3-1 pada aksi final.
Secara kebetulan pada majlis undian Piala Malaysia musim lalu, kedua-dua pasukan dijodohkan berada dalam Kumpulan A bersama-sama KL Plus dan PKNS FC.

Namun kedua-dua mereka tetap bertembung sekali lagi pada final tetapi pertaru- ngan kali kedua itu dimenangi pula Kelantan menerusi kemenangan 2-1 untuk kejuaraan sulung Piala Malaysia buat negeri Pantai Timur itu.
Kini bagi undian Piala Malaysia 2011, Kelantan dan Negeri Sembilan diletak dalam balang berbeza berdasarkan prestasi kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super musim ini, sekali gus berkemungkinan diundi sama kumpulan lagi.

Kelantan selaku juara Liga Super musim ini berada dalam Balang 1 bersama-sama Terengganu, Selangor dan Kedah. Empat pasukan ini tidak akan berada dalam satu kumpulan.
Negeri Sembilan pula yang sekadar menduduki tangga kelapan Liga Super musim ini berada dalam Balang 2 bersama-sama Perak, Johor FC dan T-Team.

Juara Liga Premier, PKNS FC pula dalam Balang 3 bersama-sama Sabah, Felda United, Kuala Lumpur manakala Balang 4 dianggotai semua pasukan Liga Premier iaitu Sarawak, PDRM, Johor dan Sime Darby.

Majlis undian di pentas utama Stadium Nasional bermula pukul 5.30 petang ini turut akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan ia di- siarkan secara langsung di Astro Arena Saluran 801.
Saingan Piala Malaysia musim ini akan bermula pada 6 September depan dan final dijangka akan berlangsung pada 29 Oktober.

Pilihan Terbaik Skuad Olimpik Malaysia 2011

BEKAS pengendali skuad Olimpik, B Sathianathan menyifatkan, barisan pemain Olimpik kendalian Ong Kim Swee adalah yang terbaik pernah dikumpulkan.

Menurutnya, pemain yang ada ketika ini dilihat mantap, selain mempunyai persefahaman tinggi serta memiliki mutu permainan baik.

“Saya lihat pasukan yang dibimbing Kim Swee mampu pergi jauh di peringkat antarabangsa kerana mereka sudah bersama dalam tempoh masa agak lama.


“Selain itu, terdapat kualiti dalam pasukan ini, kerana beberapa pemain bermain untuk skuad utama kebangsaan, sesuatu jarang berlaku pada masa lalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sathia berkata, situasi itu sedikit berbeza ketika beliau membimbing skuad Olimpik empat tahun lalu.

Beliau berkata, ketika itu beliau tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa mengumpul pemain dalam tempoh singkat.

“Saya akui, dulu kita belum cukup sedia. Latihan cuma dijalankan selama sebulan menyebabkan pemain sukar mencari keserasian.

“Ini berbeza dengan apa yang kita ada sekarang, mereka sudah bersama lebih setahun malah beraksi dalam Liga Super,” katanya.

Mengulas mengenai kemenangan ketiga anak buah Kim Swee dalam aksi persahabatan di Slovakia semalam, Sathia berkata ia bagus kerana mampu menaikkan semangat dan moral pemain menjelang aksi peringkat kumpulan Kelayakan Olimpik London, September ini.

Bagaimanapun katanya, pemain perlu berusaha dan bekerja keras, jika mahu menumpaskan Jepun, Syria dan Bahrain yang menanti Malaysia di Kumpulan C.

“Jepun merupakan sebuah pasukan yang kuat dalam sukan bola sepak, begitu juga Syria dan Bahrain.

“Namun dengan pelbagai program yang kita wujudkan, harapan amat tinggi untuk melihat Malaysia melangkah ke sukan Olimpik,” katanya.

Malaysia bakal berdepan Jepun dalam perlawanan pertama Kumpulan C, 21 September depan sebelum aksi timbal balik di Kuala Lumpur pada 22 Februari tahun depan.

Anak didik Kim Swee layak ke peringkat ketiga, selepas menyingkirkan cabaran Pakistan dan Lubnan di saingan awal kelayakan.

Belang Ong Kim Swee.


KEWIBAWAAN Ong Kim Swee mengendalikan pasukan Olimpik tidak boleh dipertikaikan kerana membimbing anak didiknya memenangi tiga perlawanan ujian awal di Vion, Slovakia.

Perkembangan itu sesuatu yang positif sebagai persediaan menghadapi aksi peringkat Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012.

Kini, mereka memiliki baki empat perlawanan di Slovakia yang dijangka berakhir pada 26 Ogos ini.

Setakat ini, barisan pemain Harimau Muda sudah meledak lima jaringan menerusi sentu-han Wan Zack Haikal, Ferris Danial, Fandi Othman dan Hazwan Bakri serta Irfan Fazail.



Presiden FAM terima Anugerah Berlian AFC


SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dan bekas Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) merupakan penerima Anugerah Berlian AFC 2011.

Perwakilan AFC yang diketuai pemangku presidennya Zhang Jilong menghadap Sultan Ahah Shah di Istana Pahang semalam untuk menyampaikan berita berkenaan kepada baginda yang menjadi Presiden AFC dari 1994 hingga 2002.

Menurut laman web AFC, anugerah akan disampaikan kepada baginda yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada majlis Anugerah Tahunan AFC di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 23 November ini.

Anugerah itu diberikan kepada individu yang memberi sumbangan ke arah pembangunan dan promosi sukan bola sepak di benua Asia.

Zhang memuji sumbangan baginda kepada pembangunan bola sepak Asia dengan berkata: "AFC dan keluarga bola sepak Asia tidak akan melupakan sumbangan baginda Sultan. Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC sebulat suara membuat keputusan untuk menghargai baginda." Sementara itu, Sultan Ahmad Shah pula bertitah: "Saya mahu melihat kerjasama erat antara AFC dan AFF di masa depan." Penerima anugerah sebelum ini termasuk Saburo Kawabuchi (2005), Joseph S Blatter (2006), Lennart Johannson (2007), Ken Naganuma (2008, selepas kematian), Jeneral Farouk Bouzo (2009) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (2010).

FAM masih ikut peraturan.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi siaran medianya menjelaskan hukuman penggantungan dan denda dikenakan ke atas lima pemain skuad Perak adalah mengikut peraturan yang termaktub dalam peraturan dan undang-undang badan induk bola sepak negara itu.
Siaran media itu menyebut tiga pemain - Mohd Syazwan Mohd Roslan, Shahrulnizam Mustafa dan Azmeer Yusof- memberi maklum balas lewat daripada tarikh ditetapkan terhadap surat pertuduhan yang dihantar FAM manakala dua lagi pemain, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd Nasril Nourdin langsung tidak membalasnya.


Ia kemudiannya dibawa kepada jawatankuasa tatatertib FAM untuk dibicarakan pada 6 Julai lalu.
Hasilnya kelima-lima terbabit didapati bersalah terhadap dua pertuduhan asal dan satu kesalahan menghina jawatankuasa iaitu gagal memberi makluman balas ke atas surat pemakluman kepada FAM pada tarikh ditetapkan.

Untuk pertuduhan pertama, kelima-lima pemain terbabit didapati melakukan kesalahan 3.2 Kod Tatatertib FAM 2010 iaitu menyerang secara menghampiri dengan agresif iaitu meluru ke arah kumpulan pengadil menyebabkan setiap seorang digantung empat perlawanan automatik dan denda RM2,000.

Bagi tuduhan kedua, kesalahan 5.3 Kod Tatatertib FAM 2010 iaitu mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan iaitu kesat, lucah, mencela, mencaci, mengaibkan, mengeluarkan kata-kata nista kepada kumpulan pengadil yang menyebabkan mereka terbabit digantung automatik tiga perlawanan serta didenda RM2,000 setiap seorang.
Menurut siaran media itu lagi, FAM bertindak selepas menerima laporan pengadil pada 21 Mei mengenai insiden yang dilakukan lima pemain Perak terbabit semasa perlawanan Liga Super 2011 antara Perak menentang Sabah.

Pihak sekretariat kemudiannya meneliti Kod Tatatertib FAM 2010 dan mendapati dua kesalahan yang dilakukan pemain Perak dan surat pertuduhan dikeluarkan pada 23 Jun dan difaks kepada Persatuan Bola Sepak Perak pada hari sama.
Ia turut menyatakan pihak sekretariat dalam proses untuk menyiapkan rumusan rayuan untuk diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Rayuan FAM untuk dipertimbangkan.

Semalam, Arena Metro menyiarkan kenyataan Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak (KPBP), Abdul Jamil Othman yang menyifatkan keputusan jawatankuasa tatatertib itu tidak profesional dan keterlaluan dalam menghukum kelima-lima pemain berkenaan.

Skuad Olimpik Malaysia 2011 gah di Slovakia.

PERSIAPAN skuad Olimpik negara untuk menghadapi saingan sengit peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik 2012 zon Asia berada dalam landasan tepat.
Anak-anak buah jurulatih Ong Kim Swee yang kini berada di Slovakia terus mempamerkan persembahan membanggakan apabila mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dalam aksi persahabatan menentang kelab tempatan di sana.

Terbaru barisan pemain Olimpik negara menjadikan kelab Liptovsky Mikulas sebagai mangsa dengan mencatatkan kemenangan 2-1 hasil jaringan Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd Irfan Fazail pada setiap babak.
“Saya harap rentak kemenangan ini dapat diteruskan oleh pemain dan lebih penting objektif latihan di Slovakia dapat tercapai terutamanya dalam meningkatkan lagi mutu persembahan dan kerjasama sepasukan,” kata pengurus skuad Olimpik negara, Datuk Afandi Hamzah ketika dihubungi semalam. Tambahnya pemain perlu menggunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran yang lebih getir dengan gergasi Asia, Jepun menanti pada 21 September ini diikuti Syria dan Bahrain.


“Semua pemain akan diberikan peluang untuk mempamerkan kebolehan termasuk beberapa pemain yang baru diserapkan agar masalah keserasian tidak timbul sekiranya mereka terpilih menggalas cabaran negara nanti,” katanya yang juga naib presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Skuad Olimpik negara sebelum ini menewaskan Bodva Moldava hasil jaringan tunggal Wan Zack Haikal Wan Nor diikuti kemenangan 2-1 ke atas Topvar Topolcany menerusi jaringan Ferris Danial Mat Nasir dan Fandi Othman.
Senarai 23 pemain bertambah 30 apabila tujuh pemain skuad senior menyertai kem latihan itu semalam termasuk ketua pasukan, Khairul Fahmi Che Mat (gambar) serta tiga tonggak pertahanan diketuai Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Shas dan Mahali Jasuli.

Kehadiran mereka dijangka menguatkan lagi cabaran skuad Olimpik negara yang dijadualkan menentang kelab Hungary yang berpangkalan di Budapest pada Selasa ini. 

Sumber: Arena Metro

''Beri saya masa''

“SAYA masih perlukan masa”. Itu luahan penyerang Harimau Malaya, Abdul Hadi Yahaya yang masih gagal membentuk gandingan berbisa bersama penyerang utama negara, Mohd Safee Sali.
Penjaring terbanyak Liga Super 2011 yang beraksi bersama Terengganu itu berkata bukan saja peminat, malah dia sendiri juga masih belum berpuas hati dengan prestasinya di pentas antarabangsa sejak pertama kali dipanggil ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal menyarung jersi kebangsaan menentang Hong Kong pada Jun lalu.

“Secara jujur saya masih mencari rentak terutamanya dalam membentuk keserasian yang mantap bersama Mohd Safee. Saya mengharapkan peluang lebih banyak beraksi bersama Mohd Safee kerana sebelum ini kami jarang beraksi bersama dalam tempoh yang panjang dalam perlawanan sebenar mahupun latihan.
“Saya hanya berpeluang bergandingan dengan Mohd Safee untuk tempoh yang lama ketika menentang Singapura tempoh hari. Pada perlawanan lain saya sekadar beraksi bersamanya untuk tempoh lima hingga 10 minit ataupun masuk menggantikan tempatnya dalam perlawanan terbabit,” kata penyerang berusia 26 tahun itu.


Jentera serangan Harimau Malaya kini amat memerlukan kudrat dan sentuhan Abdul Hadi untuk membentuk gandingan mantap bersama penyerang Pelita Jaya FC itu terutamanya ketika ketiadaan penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang masih dibelenggu kecederaan hamstring.

Sementara itu hasrat Harimau Malaya untuk mencari kemenangan moral ke atas Oman tidak kesampaian apabila aksi persahabatan antarabangsa yang dijadualkan pada Rabu ini ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Skuad Harimau Malaya sebaliknya akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini pada jam 10 malam.

Thursday, August 4, 2011

Harimau Muda Garang Di Slovakia

SKUAD Olimpik negara semakin garang di Slovakia. Semalam mereka mencatat kemenangan ketiga berturut-turut pada siri aksi persahabatan di negara tersebut dengan menewaskan kelab Liga 1 Slovakia, Tatran Liptovsky Mikulas 2-1. Slovakia kini menduduki ranking ke-29 dunia dan pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Pada kempen di Afrika Selatan itu, Slovakia berjaya melangkah ke pusingan kedua melibatkan 16 pasukan terbaik sebelum tewas 1-2 kepada Belanda. Dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad bimbingan Ong Kim Swee itu berjaya menewaskan Bodva Moldava 1-0 pada 26 Julai lalu dan Topvar Topolcany 2-1 pada Sabtu lalu. Menurut Kim Swee, secara keseluruhannya, persembahan para pemainnya semakin menunjukkan peningkatan, namun masih banyak yang boleh diperbaiki.

"Perlawanan ini cukup sengit dengan intensiti yang cukup tinggi. Pemain telah berjaya mengawal permainan dengan baik. “Tapi pada babak kedua, kita kurang mengasak apabila pasukan lawan memberi tekanan terutama di bahagian tengah,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam. Pada perlawanan itu, dua gol skuad Olimpik negara dijaringkan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-11 dan Irfan Fazail minit ke-86 sebelum Mikulas merapatkan kedudukan menerusi tandukan Virgala Thomas pada minit ke-88.


Wednesday, August 3, 2011

Karnival Futsal KFS 2011..!!


Karnival Futsal Kenari Fans Squad 2011..!!

Sabtu, 1 Oktober 2011, 8.30 pagi bertempat di WNS Futsal Centre..!!

TARIKH TUTUP PENDAFTARAN, 24 September 2011..!!

Buat julung kalinya, Karnival Futsal Kenari Fans Squad 2011 dianjurkan..!!

Jika anda berminat dan anda mempunyai pasukan futsal, anda boleh mendapatkan borang daripada kami dengan segera..

Bagi peserta yang berada di luar kawasan Kedah, sekiranya anda berminat untuk turut serta dalam Karnival Futsal Kenari Fans Squad 2011, anda boleh muat turun borang pendaftaran dari laman rasmi KFS dan anda perlu isikan butiran - butiran dengan lengkap.

http://kenarifansquad.blogspot.com

Kemudian, hantar borang anda itu ke alamat 2127, Taman PKNK, Lorong Kenari Putih 2, Jalan Tun Razak, 05200 Alor Setar, Kedah.
 
Seterusnya, pembayaran pendaftaran sebanyak RM100 hendaklah dibuat kepada:-
Zakri-- 0134013279 ( SUNGAI PETANI / KULIM )

Ayie-- 0172717984 & Rafi -- 0134382053, ( ALOR SETAR )

Fuad-- 0124966914 ( PERLIS )

Bukti ataupun resit pembayaran hendaklah disimpan, dan BAWA resit pembayaran tersebut pada hari pertandingan sebagai bukti pembayaran anda dan juga sebagai rujukan kami supaya kesulitan tidak akan berlaku nanti.

Sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai perkara ini, anda boleh kemukakan terus di wall Kenari Fans Squad (click) atau pun hubungi terus no telefon yang tertera..
Johan                                :- RM2000 + Medal + Hamper
Naib Johan                       :- RM1000 + Medal + Hamper
Tempat ke - 3                  :- RM 500 + Medal + Hamper
Tempat ke - 4                  :- RM 350 + Hamper
Tempat ke - 5 hingga 8  :- Hamper..


Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi:- 
Zakri-- 0134013279 ( SUNGAI PETANI / KULIM )

Ayie-- 0172717984 & Rafi -- 0134382053, ( ALOR SETAR )

Fuad-- 0124966914 ( PERLIS )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...