Friday, August 5, 2011

''Beri saya masa''

“SAYA masih perlukan masa”. Itu luahan penyerang Harimau Malaya, Abdul Hadi Yahaya yang masih gagal membentuk gandingan berbisa bersama penyerang utama negara, Mohd Safee Sali.
Penjaring terbanyak Liga Super 2011 yang beraksi bersama Terengganu itu berkata bukan saja peminat, malah dia sendiri juga masih belum berpuas hati dengan prestasinya di pentas antarabangsa sejak pertama kali dipanggil ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal menyarung jersi kebangsaan menentang Hong Kong pada Jun lalu.

“Secara jujur saya masih mencari rentak terutamanya dalam membentuk keserasian yang mantap bersama Mohd Safee. Saya mengharapkan peluang lebih banyak beraksi bersama Mohd Safee kerana sebelum ini kami jarang beraksi bersama dalam tempoh yang panjang dalam perlawanan sebenar mahupun latihan.
“Saya hanya berpeluang bergandingan dengan Mohd Safee untuk tempoh yang lama ketika menentang Singapura tempoh hari. Pada perlawanan lain saya sekadar beraksi bersamanya untuk tempoh lima hingga 10 minit ataupun masuk menggantikan tempatnya dalam perlawanan terbabit,” kata penyerang berusia 26 tahun itu.


Jentera serangan Harimau Malaya kini amat memerlukan kudrat dan sentuhan Abdul Hadi untuk membentuk gandingan mantap bersama penyerang Pelita Jaya FC itu terutamanya ketika ketiadaan penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang masih dibelenggu kecederaan hamstring.

Sementara itu hasrat Harimau Malaya untuk mencari kemenangan moral ke atas Oman tidak kesampaian apabila aksi persahabatan antarabangsa yang dijadualkan pada Rabu ini ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Skuad Harimau Malaya sebaliknya akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini pada jam 10 malam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...