ALOR SETAR _ Kelibat bekas pemain import berpengaruh Kedah, Nelson Sam Martin dijangka kembali mewarnai saingan bola sepak Liga Malaysia musim depan apabila sentuhannya dikhabarkan diintai oleh beberapa pasukan dalam Liga Super.
Menurut sumber, selain pasukan lamanya, khidmat pemain dari Chile yang memainkan watak penting sewaktu membantu Kedah muncul juara treble berganda empat tahun lalu turut diintai oleh dua pasukan gergasi masing-masing dari Lembah Klang dan pantai timur.
Bagaimanapun, pemain tengah yang terkenal dengan hantaran tepat serta mengelirukan lawan itu dikatakan telah menyatakan minat untuk kembali menyarung jersi Hijau Kuning.
Ketika beraksi bersama skuad Sang Kenari, Sam Martin bergandingan dengan dua lagi pemain import iaitu Bernard Hugging dan Marlon Alex James telah membantu pasukan Kedah mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2007 serta 2008.
Aksi pemain import kembali menjadi bualan peminat sukan bola sepak negara apabila khidmat mereka yang berakhir pada musim 2007-08 dibenarkan kembali oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada musim depan.
Sementara itu, jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan berkata, dia tidak akan memilih pemain import untuk mewakili Kedah dengan hanya bersandarkan kepada nama dan reputasi hebat pada masa silam semata-mata.
Apa yang penting, katanya, ialah prestasi semasa mereka kerana sudah lebih empat tahun berlalu dan dalam tempoh itu pelbagai perkara boleh berlaku termasuk kemerosotan persembahan akibat faktor usia atau tidak beraksi dalam saingan kompetitif di peringkat tinggi
Saya tidak nafikan apa salahnya mengambil semula pemain import yang menempah nama dan sejarah bersama Kedah, tetapi sebagai jurulatih saya terlebih dahulu perlu menilai prestasi semasa mereka sama ada masih lagi memuaskan atau tidak,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, mengenai persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia, Wan Jamak berkata, Sang Kenari meminjam Armizi Azmi dari Perlis dan seorang pemain Harimau Muda A bagi menguatkan bahagian pertahanan.
Katanya, skuad Hijau Kuning sedang giat melakukan persiapan termasuk mengadakan latihan pada sebelah malam bagi memantapkan fizikal dan mental pemain yang bakal berdepan tiga pasukan negeri dalam Kumpulan A iaitu Johor, Perak dan Sabah.
''Kedah akan memberi fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dengan cuba mengumpul sebanyak mungkin mata dari peringkat awal saingan kumpulan untuk memastikan kemaraan,'' katanya.
Sumber: Utusan Online
Tarikh: 10 Ogos 2011
terbaek la lepaih ni....
ReplyDelete