JUARA bertahan, Kelantan dilihat tidak mempunyai masalah besar untuk melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2011 apabila diundi bersama-sama Johor FC, Felda United dan Sarawak.
Cabaran lebih getir yang menanti juara Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah itu adalah di suku akhir dengan juara Piala FA musim ini, Terengganu atau naib juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan yang berada dalam Kumpulan B dijangka menanti.
Namun bukan itu yang menjadi persoalan utama yang bermain dalam benak fikiran pengendali Kelantan, Datuk M Karathu.
The Red Warriors berkemungkinan besar tidak akan dapat menggunakan khidmat penjaga gol utamanya, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Izuan Solahuddin sekiranya khidmat kedua-dua pemain tonggaknya diperlukan oleh skuad Olimpik negara pada September ini.
“Saya harap mereka dapat kembali bersama Kelantan. Namun kami mempunyai Mohd Shahrizan Ismail yang tidak bolos dalam tiga perlawanan ketika diturunkan sebelum ini dan saya percaya dengan kemampuannya mengawal gawang sekiranya Khairul Fahmi tiada,”katanya semalam.
Ketiadaan dua pemain utama itu diburukkan lagi dengan empat pemain utama Kelantan yang kini bersama skuad kebangsaan menjalani latihan pusat iaitu S Chanturu, Mohd Shakir Saari, Mohd Farisham Ismail dan Rizal Fahmi Abd Rosid selain Norshahrul Idlan Talaha yang masih mengalami kecederaan hamstring.
“Saya berharap dapat mengumpulkan mereka secepat mungkin apabila sesi latihan pusat tamat untuk membentuk kembali persefahaman serta momentum kerja sepasukan. Kami akan mengadakan sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan untuk menghadapi Piala Malaysia ini,”katanya.
Juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor pula mengetuai kumpulan D bersama-sama T-Team, Kuala Lumpur dan PDRM.
Selangor yang sudah dua tahun berturut-turut tersekat di suku akhir dijangka menghadapi saingan sengit T-Team yang menewaskan mereka dua kali dalam saingan Liga Super musim ini selain Kuala Lumpur yang turut mampu melakukan kejutan.
Manakala Kedah menjadi pilihan untuk menjuarai Kumpulan A dengan Perak, Sabah dan Johor menjadi penghalang.
Saingan Piala Malaysia 2011 bermula 6 September ini dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 4 dan 8 Oktober manakala perlawanan akhir dijadualkan pada 29 Oktober.
Sumber: Arena Metro
hidup kedah
ReplyDelete:-)
harap piala malaysia 2011 akan pulang ke bumi hijau kuning
ReplyDelete