Monday, January 30, 2012

'Bacul kalau saya tinggalkan Kedah'

Khazali Din (baju merah) dikawal ketat oleh anggota polis ketika keluar dari Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin selepas Kedah tumpas 1-3 kepada Johor FC dalam saingan Liga Super.

ALOR SETAR - "Bacul kalau saya tinggalkan pasukan Kedah sekarang."
Demikian kata-kata pengurus pasukan Kenari, Datuk Khazali Din, yang bertegas tidak akan meninggalkan skuad Hijau Kuning itu selagi prestasi mereka gagal mencapai tahap terbaik.

Walaupun dicemuh kira-kira 1,000 penyokong yang berhimpun di luar Stadium Darul Aman kelmarin selepas Kedah tewas 1-3 kepada Johor FC dalam aksi Liga Super, namun Khazali tidak sesekali berniat untuk berundur.

Nidzam Adzha lepas jawatan

KEGAGALAN Kedah meraih sebarang kemenangan setelah mengharungi lima perlawanan memaksa jurulatih sementara skuad Hijau Kuning, Mohd. Nidzam Adzha Yusof (gambar) melepaskan jawatannya.
Keputusan itu dibuat selepas Kedah sekali lagi tumbang di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin yang sebelum ini boleh dianggap sebagai gelanggang keramat buat mereka.
Pada pertemuan itu, skuad Hijau Kuning dihukum atas kelemahan mereka sendiri apabila tewas 1-3 kepada pasukan berstatus kelab, Johor FC.
Nidzam Adzha yang kecewa dengan prestasi anak-anak buahnya sepanjang lima perlawanan setakat ini menyifatkan aksi tersebut sebagai persembahan terburuk barisan kendaliannya.
“Saya melepaskan jawatan sebagai jurulatih skuad utama Kedah dan menyerahkannya kepada Radzi (Mat Din),” kata Nidzam Adzha.
Pada pertemuan di laman sendiri, Kedah hanya sekadar seri tanpa jaringan dengan Lions XII, selain diaibkan dengan kekalahan 0-3 kepada Kelantan dan terbaharu, tewas 1-3 kepada Johor FC.
Nidzam Adzha yang merupakan jurulatih skuad Piala Presiden Kedah menggalas tugas selaku pengendali sementara Kedah bagi menggantikan ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan yang digantung tujuh perlawanan.

Sunday, January 29, 2012

Liga Super: KFA buat ”post mortem” kenal pasti masalah

29/01/2012 11:09am

ALOR SETAR 29 Jan. – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan melakukan ”post mortem” dengan segera bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi pemain dan pasukan Liga Super, sehingga menyebabkan pasukan itu masih gagal mencapai kemenangan selepas lima perlawanan.

Pengurus pasukan, Datuk Khazali Din berkata, KFA tidak boleh melengahkan proses itu memandangkan prestasi pasukan berkenaan kian hambar dan mengecewakan.

Beliau berkata, langkah drastik perlu diambil dengan melakukan beberapa perubahan corak permainan pasukannya ketika bertemu Kuala Lumpur Selasa ini dan turut bergantung kepada pemain muda untuk melakukan sesuatu.

"Pemain lama pun tak memberangsangkan. Mereka sendiri yang kena bertanggungjawab kerana mereka langsung tidak bertenaga ketika bertemu dengan Johor FC,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.

Khazali yang kecewa dengan prestasi hambar pemain Kedah turut memberi amaran keras untuk memberi surat amaran serta membuat pemotongan gaji secara berperingkat-peringkat jika masih tidak beraksi dengan baik.

Pertemuan dengan Johor FC malam tadi menyaksikan Kedah sekali lagi tersungkur di laman sendiri 1-3 di hadapan lebih 1,000 penyokong sendiri. – BERNAMA

Saturday, January 28, 2012

Misi hidup, mati skuad Kedah

Kedah(jersi hijau kuning) tiada pilihan lain kecuali menang menetang Johor fc malam ini bagi mengembalikan keyakinan mereka


PERTEMUAN Kedah dengan Johor FC di Stadium Darulaman, Alor Setar malam ini ibarat hidup dan mati berikutan himpitan tekanan skuad Kenari yang masih gagal mencapai sebarang kemenangan selepas mengharungi empat perlawanan Liga Super musim ini.
Perlawanan itu juga pasti menjadi tumpuan penyokong dan pemain selain pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang sudah pastinya mengharapkan tuah berpihak kepada mereka.
Biarpun KFA meminta penyokong tidak gusar, sebaliknya memberi peluang kepada skuad Kenari meningkatkan aksi mereka, namun realiti yang mungkin tidak boleh dielakkan ialah tekanan akan terus memuncak jika kemenangan malam ini berpihak kepada lawan.
Pertemuan dua pasukan yang boleh dianggap ‘final’ itu bakal menjadi penentu bagi meredakan sedikit tekanan yang ditanggung Kedah atau sebaliknya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...