Friday, August 19, 2011

Azmizi enggan 'kena peram'

Azmizi Azmi (tibo) berjersi biru

“SEBAGAI pemain yang beraksi atas tiket ‘pinjaman’ maka kelibat saya sememangnya menjadi perhatian banyak pihak bukan saja pengurusan pasukan, malah peminat. Justeru, saya tidak perlu sentiasa berada pada tahap terbaik mempamerkan aksi cemerlang pada setiap perlawanan,” kata Azmizi Azmi.
Bekas kapten Perlis yang dipinjamkan ke Kedah untuk saingan Piala Malaysia mahu berada dalam kesebelasan utama dan bukan hanya memanaskan bangku simpanan.


Tonggak pertahanan tengah itu berkata, dia mahu membalas kepercayaan pengurusan skuad Hijau Kuning kerana memberikan peluang kepadanya untuk beraksi.
“Selepas Perlis tersingkir daripada saingan Piala Malaysia, kepercayaan diberikan pengurusan skuad Kedah harus dibalas dengan persembahan cemerlang.

“Andainya disenaraikan dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian pada mana-mana perlawanan, saya berjanji memberikan yang terbaik bagi membantu pasukan mencatat kemenangan,” katanya.

Menurut Azmizi, bukan mudah untuk berada dalam kesebelasan utama Kedah kerana mereka memiliki ramai pemain berpengalaman dan beberapa pemain skuad kebangsaan.

“Apapun saya akan cuba menarik perhatian jurulatih Wan Jamak Wan Hassan untuk menyenaraikan saya dalam perancangan pasukan,” katanya.

Kedah diundi dalam Kumpulan A yang turut dibarisi Perak, Sabah dan Johor.

Oleh Kamudin Baharom
am@hmetro.com.my
sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...