PERSIAPAN skuad Olimpik negara untuk menghadapi saingan sengit peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik 2012 zon Asia berada dalam landasan tepat.
Anak-anak buah jurulatih Ong Kim Swee yang kini berada di Slovakia terus mempamerkan persembahan membanggakan apabila mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut dalam aksi persahabatan menentang kelab tempatan di sana.
Terbaru barisan pemain Olimpik negara menjadikan kelab Liptovsky Mikulas sebagai mangsa dengan mencatatkan kemenangan 2-1 hasil jaringan Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd Irfan Fazail pada setiap babak.
“Saya harap rentak kemenangan ini dapat diteruskan oleh pemain dan lebih penting objektif latihan di Slovakia dapat tercapai terutamanya dalam meningkatkan lagi mutu persembahan dan kerjasama sepasukan,” kata pengurus skuad Olimpik negara, Datuk Afandi Hamzah ketika dihubungi semalam. Tambahnya pemain perlu menggunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran yang lebih getir dengan gergasi Asia, Jepun menanti pada 21 September ini diikuti Syria dan Bahrain.
“Semua pemain akan diberikan peluang untuk mempamerkan kebolehan termasuk beberapa pemain yang baru diserapkan agar masalah keserasian tidak timbul sekiranya mereka terpilih menggalas cabaran negara nanti,” katanya yang juga naib presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Skuad Olimpik negara sebelum ini menewaskan Bodva Moldava hasil jaringan tunggal Wan Zack Haikal Wan Nor diikuti kemenangan 2-1 ke atas Topvar Topolcany menerusi jaringan Ferris Danial Mat Nasir dan Fandi Othman.
Senarai 23 pemain bertambah 30 apabila tujuh pemain skuad senior menyertai kem latihan itu semalam termasuk ketua pasukan, Khairul Fahmi Che Mat (gambar) serta tiga tonggak pertahanan diketuai Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Shas dan Mahali Jasuli.
Kehadiran mereka dijangka menguatkan lagi cabaran skuad Olimpik negara yang dijadualkan menentang kelab Hungary yang berpangkalan di Budapest pada Selasa ini.
Sumber: Arena Metro
No comments:
Post a Comment