Thursday, February 2, 2012

Tolong bersabar - Azizan

Pemain kedah(jersi Hijau) belum menemui rentak ketika saingan
liga super sudah melalui lima perlawanan setakat ini.

KEDAH semakin tenat, tetapi Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak tetap merayu agar penyokong mereka bertenang.
Kedah kini berada dalam kelompok terbawah saingan Liga Super dan kedudukan tersebut mula mencemaskan penyokong fanatik skuad Hijau Kuning itu.
Menurut Azizan, tempoh saingan Liga Super masih panjang dan beliau yakin Kedah mampu kembali ke kedudukan terbaik liga setelah segala masalah dan kelemahan pemain dapat diatasi.
Katanya, beliau memahami masalah yang dihadapi pasukan itu ekoran penggantungan ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan sehingga menyebabkan pemain kehilangan pembimbing sekali gus menjejaskan prestasi mereka.
“Radhi (Mat Din) dan Ahmad Sobri (Ismail) pun sudah boleh membimbing pasukan selepas tempoh penggantungan mereka tamat.
“Wan Jamak belum boleh melatih, malah duduk tepi padang pun tidak boleh, namun setelah tempoh hukuman berakhir, masalah serta kelemahan dalam pasukan akan dapat diatasi dan Kedah mampu kembali ke kedudukan terbaik,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Alor Setar semalam.
Kedah ketika ini terbenam di dasar liga dengan hanya mengutip dua mata hasil seri dua kali.
Desakan penyokong turut kedengaran yang menuntut Datuk Khazali Din berundur daripada jawatan sebagai pengurus pasukan skuad Hijau Kuning itu.
Mengulas tuntutan penyokong itu, Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan Khazali dalam menguruskan pasukan.
Katanya, sekiranya Khazali berundur dari jawatan pengurus pasukan, penggantinya akan turut menghadapi nasib dan desakan sama daripada penyokong.
“Dia (Khazali) bukan jaringkan gol tetapi orang lain yang main bola. Saya berpuas hati dengan Khazali tetapi anak-anak buah dia tidak dapat menunjukkan prestasi baik, apa boleh buat.
“Insya-Allah apabila menang balik (Kedah) ada pula pihak yang rayu Khazali dikekalkan,'' katanya.
Azizan memberitahu, kalah atau menang dalam permainan bola sepak adalah biasa termasuk melibatkan kelab ternama dunia.
“Manchester United pun kalah kepada Liverpool baru-baru ini. Barcelona dulu berada di tempat pertama liga tetapi kini diambil alih pula oleh Real Madrid.
“Jatuh bagi sesebuah pasukan itu bukan tidak bagus tetapi itulah bola sepak. Bola yang bergolek,'' katanya.
Menyentuh sekumpulan penyokong yang mahu memboikot perlawanan Kedah di Stadium Darulaman, Azizan berkata: “Itu terserah kepada penyokong.”
Keputusan memboikot oleh Ultras Kedah yang dianggotai lebih 1,000 ahli setelah kecewa dengan kelemahan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang gagal membentuk satu pasukan mantap bagi saingan Liga Super 2012.
Wan Jamak digantung tujuh perlawanan kerana didakwa mengkritik mutu pengadilan ketika Kedah seri 1-1 menentang Perak pada aksi terakhir Kumpulan A saingan Piala Malaysia pada 28 September tahun lalu.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. kalau kalah main cantik takpa jijan oiiiii...ni dah tiga tahun takdak peningkatan pun satu piala pun takdakkk...kalau kalah tapi permainan menghiburkan takpa la jugak....ni tak dah la kalah tapi main macam budak sekolah....tukaq kerajaan la pasni...dah meluat dah aku ngan pengurusan hangpa...tula dia bagi kat orang yg tak pandai pasai bolasepak....tukaqqqqqqqqqqqqqqqq........

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...