Friday, February 3, 2012

Punca kemerosotan Kedah

Wan jamak masih menjalani penggantungan tujuh perlawanan
dan belum boleh melatih skuad kedah buat sementara waktu
SETELAH prestasi hambar yang dipamerkan oleh pemain sebagai punca kemerosotan Kedah, kali ini kelemahan itu dihalakan pula kepada Wan Jamak Wan Hassan.


Ia berikutan penggantungan ketua jurulatih itu diakhir musim lalu yang membuatkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak sempat mencari jurulatih baharu bagi menguruskan pasukan.


Turut dipersalahkan oleh penyokong skuad Hijau Kuning ialah pengurus pasukan, Datuk Khazali Din yang didesak berundur daripada jawatan yang disandangnya.


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib berkata, hukuman penggantungan tujuh perlawanan ke atas Wan Jamak merupakan punca utama berlaku kepincangan dalam pengurusan bola sepak Kedah.



"KFA terpaksa mengambil Mohd. Nidzam Adha (jurulatih skuad Piala Presiden) untuk membimbing Kedah buat sementara waktu sebelum Radhi (Mat Din) dan Ahmad Sobri (Ismail) yang tamat pengantungannya Sabtu lalu mengambil alih semula.


"Namun selepas Wan Jamak kembali, sekiranya tiada sebarang kemajuan dalam skuad Kedah, kita akan mengkaji dan menilai semula beberapa perkara bagi menyelesaikan masalah yang melanda pasukan ketika ini," katanya.


Bagaimanapun, menurut Hamdan, semua pihak termasuk pengurusan, pentadbiran dan pemain perlu bertanggungjawab berikutan prestasi hambar skuad Kedah.


"Saya merasakan tidak adil jika kita menuding jari kepada mana-mana individu tertentu kerana ini adalah usaha bersama.


"Saya memang mengambil serius perkara ini dan harus melakukan yang terbaik," katanya.


Wan Jamak digantung tujuh perlawanan kerana didakwa mengkritik mutu pengadilan ketika menyaksikan anak-anak didiknya sekadar seri 1-1 menentang Perak pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A saingan Piala Malaysia pada 28 September lalu.


Turut menerima nasib sama, Radhi yang merupakan penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol, Ahmad Sobri yang digantung empat perlawanan.


Dalam pada itu, Hamdan turut mempersoalkan persembahan hambar beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, Baddrol Bakhtiar, Mohd. Sabree Abu dan Amar Rohidan yang gagal membantu pasukan mencapai kemenangan.


Katanya, pemain tempatan mempunyai kualiti yang baik, namun persembahan mereka agak tumpul menyebabkan peminat hampa dengan permainan mereka.


"Bertambah malang, import Kedah pula tidak berkualiti sehingga menyebabkan mereka terpaksa digugurkan bagi mencari import baharu yang dapat membantu mengubah nasib pasukan," katanya.


Menurut Hamdan, KFA dalam mesyuarat baru-baru ini memutuskan untuk mencari dua pemain import baharu di bahagian serangan dan tengah bagi membantu memantapkan pasukan.


"Kami tidak mempunyai masalah dengan pemain berkaitan gaji dan kebajikan mereka, malah turut memberi insentif sekiranya mereka menang atau seri dalam perlawanan,'' katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, KFA menubuhkan satu pasukan pemantau yang terdiri daripada lima ahli bagi memantau prestasi pemain dan jurulatih serta turut memantau isu-isu berkaitan dengan bola sepak termasuk rasuah.


"Mereka terdiri daripada ahli Eksekutif KFA, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya


Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my


Sumber: Kosmo online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...