Sunday, January 29, 2012

Liga Super: KFA buat ”post mortem” kenal pasti masalah

29/01/2012 11:09am

ALOR SETAR 29 Jan. – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan melakukan ”post mortem” dengan segera bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi pemain dan pasukan Liga Super, sehingga menyebabkan pasukan itu masih gagal mencapai kemenangan selepas lima perlawanan.

Pengurus pasukan, Datuk Khazali Din berkata, KFA tidak boleh melengahkan proses itu memandangkan prestasi pasukan berkenaan kian hambar dan mengecewakan.

Beliau berkata, langkah drastik perlu diambil dengan melakukan beberapa perubahan corak permainan pasukannya ketika bertemu Kuala Lumpur Selasa ini dan turut bergantung kepada pemain muda untuk melakukan sesuatu.

"Pemain lama pun tak memberangsangkan. Mereka sendiri yang kena bertanggungjawab kerana mereka langsung tidak bertenaga ketika bertemu dengan Johor FC,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.

Khazali yang kecewa dengan prestasi hambar pemain Kedah turut memberi amaran keras untuk memberi surat amaran serta membuat pemotongan gaji secara berperingkat-peringkat jika masih tidak beraksi dengan baik.

Pertemuan dengan Johor FC malam tadi menyaksikan Kedah sekali lagi tersungkur di laman sendiri 1-3 di hadapan lebih 1,000 penyokong sendiri. – BERNAMA

1 comment:

  1. sedap jaaa nak potong gaji pemain.... baik potong gaji hang laa DKD...... kaya duk makan duit haram

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...