Monday, September 26, 2011

Peluang Kedah masih terbuka


MASIH bernafas.
Begitu nasib Kedah yang berjaya dalam misi memburu tiga mata selepas menewaskan Sabah 1-0 pada aksi Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Setar kelmarin.
Bagaimanapun, kemenangan itu bukan diraih dengan mudah kerana skuad Kenari dilihat berada dalam keadaan tertekan.
Ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan memberitahu, banyak gerakan yang dibuat pemain tidak dilakukan dengan baik.
"Mungkin tekanan yang mereka hadapi terbawa-bawa ke dalam perlawanan," katanya ketika ditemui pemberita di Alor Setar.
Jaringan tunggal Kedah dihasilkan oleh Mohd. Khyril Muhymeen Mohd. Zambri pada minit ke-44.
Hasil kemenangan itu, skuad Hijau Kuning masih berpeluang untuk mengisi satu lagi slot ke suku akhir tetapi terpaksa 'berebut' dengan Sabah kerana kedua-dua pasukan ketika ini berkongsi tujuh mata dalam Kumpulan A.
Perak yang meraih kemenangan keempat setelah menewaskan Johor 2-1 sudah mengesahkan tempat ke suku akhir apabil mengumpul 13 mata.
Biarpun berdepan kesukaran untuk meraih tiga mata berharga, Wan Jamak masih boleh tersenyum dan bersyukur kerana ia mata yang amat penting bagi pasukan.
"Tahniah kepada pemain dan diharapkan pemain tidak leka dengan kemenangan ini," katanya.
Namun disebalik senyuman Wan Jamak itu, beliau juga tidak dapat menyembunyikan kesedihan di atas kegagalan para pemain untuk menjaringkan lebih banyak gol.
"Beberapa peluang terlepas. Saya sedih kerana kita perlukan jaringan. Sekiranya perlawanan terakhir berkesudahan seri, jaringan yang akan menentukan pasukan yang layak.
"Saya berpesan kepada pemain jangan harapkan ehsan orang (pasukan lain) sebaliknya kita perlu bekerja keras. Mereka sudah bekerja keras untuk mendapatkan tiga mata dan tumpuan kita selepas ini ialah pertemuan dengan Perak," katanya.
Skuad Kenari berpeluang untuk menambah koleksi gol menerusi percubaan Mohd. Fiqry Md. Isa, Mohd. Sabree Mat Abu dan Baddrol Bakhtiar.

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my

sumber: kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...