Tuesday, September 13, 2011

Kenari bimbang ‘pancit’

Pertahanan Kedah, Mohd. Khyril Muhymeen (kanan) menyekat kemaraan pemain Sabah, Md. Farid Ideris pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Likas, Sabtu lalu. – UTUSAN/Ghazali Basri

KUALA LUMPUR – Dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan memberi kesan kepada skuad Kenari yang kelihatan ‘pancit’ apabila berdepan pencabar utama Kumpulan A, Perak di Stadium Perak, hari ini.

Selepas melalui perjalanan jauh menentang Sabah di Kota Kinabalu Sabtu lalu, skuad Wan Jamak Wan Hassan menyambung perjalanan ke Ipoh dalam tempoh tiga hari, menyebabkan pemain tidak mendapat rehat secukupnya.

Masalah keletihan pemain diakui Wan Jamak, namun tidak mahu ia menjadi alasan menjelang perlawanan hidup mati dengan Perak.

“Pemain saya memang penat apabila terpaksa berulang-alik dalam masa yang singkat tetapi sebagai pemain profesional mereka perlu menjangka situasi seperti ini.


“Saya menasihati pemain supaya menjaga pemakanan dan aspek lain supaya kecergasan mereka tidak terjejas.
“Biarpun persiapan kami tidak dapat dilakukan secara menyeluruh kerana kekangan masa, saya berpuas hati kerana dapat memperbaiki kelemahan ekoran kekalahan kepada Sabah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kalah 1-2 kepada Sabah menyebabkan Kedah tercicir ke tangga ketiga Kumpulan A dan memerlukan keputusan positif, sekurang-kurangnya satu mata apabila berdepan Perak bagi menghidupkan peluang ke suku akhir.

Kedah ke Ipoh tanpa perancang utama, Baddrol Bakhtiar yang menjalani penggantungan perlawanan akibat menerima kad merah ketika menentang Sabah, namun ia tidak menggusarkan Wan Jamak.

“Kekuatan pasukan bukan bergantung kepada seorang pemain. Tanpa Baddrol, saya yakin kekuatan keseluruhan pasukan terutama pada bahagian serangan tidak terjejas,” katanya.

sumber: Utusan Online
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...