Wan Jamak kembali bimbing Kedah selepas tamat tempoh penggantungan |
SETELAH hanya menjadi 'penonton' dalam tempoh penggantungan tujuh perlawanan, Wan Jamak Wan Hassan kembali 'menyentuh' bola.
Kembalinya ketua jurulatih Kedah ke padang itu bagaikan 'mati hidup semula' dan seakan memberi semangat baru kepada pembimbing skuad Hijau Kuning itu.
Beliau yang pertama kali menjejakkan kaki di rumput hijau Stadium Darul Aman, Alor Setar musim ini memantau latihan ringan pemain menerusi segmen latihan berbeza berbanding pembantu jurulatihnya sebelum ini.
Wan Jamak yang ditanya perasaannya sepanjang tempoh penggantungan hanya tersenyum.
"Saya rasa bagai mati hidup semula dalam sukan bola sepak ini," katanya.
Dalam tempoh penggantungan itu, Kedah dibimbing jurulatih skuad Piala Presiden, Mohd. Nidzam Adzha Yusof sebelum diambil alih oleh penolong jurulatih, Radzi Mat Din.
Wan Jamak didakwa mengkritik mutu pengadilan ketika menyaksikan anak-anak didiknya beraksi sekadar seri 1-1 menentang Perak pada perlawanan terakhir Kumpulan A saingan Piala Malaysia pada 28 September tahun lalu.
Tambahnya, selepas mengharungi tujuh perlawanan, sesuatu perlu dilakukan bagi mengembalikan semangat dan moral pemain selain mereka perlu kembali kepada latihan sebenar.
Katanya, kehadiran Safi Abdel Fatah juga dilihat mampu meningkatkan momentum jentera serangan bagi memburu gol dan meraih kemenangan.
"Pada perlawanan menentang Sabah kita mampu lakukan sesuatu dan kehadiran Safi banyak memberi kesan positif kepada corak permainan Kedah, terutamanya di bahagian serangan.
"Safi adalah pemain yang bijak dan berkemahiran tinggi. Pemain tempatan memerlukan masa bagi menyesuaikan diri dengan corak permainan masing-masing," katanya.
Skuad Kenari itu juga berkemungkinan diperkuatkan dengan seorang lagi penyerang import dari Ghana, Mohammed Hamidan sekiranya pendaftaran pemain itu dapat dilakukan segera bagi menghadapi Terengganu malam ini.
Menyentuh pertemuan dengan skuad Penyu itu, Wan Jamak memberitahu, beliau mempunyai ramuan tersendiri dan akan menyusun strategi bagi meraih tiga mata penuh.
No comments:
Post a Comment