Monday, December 6, 2010

Kelantan Dan Kedah hampir Ke Akhir



KELANTAN menghampiri sasaran melangkah ke final Kejohanan Bola Sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja selepas menundukkan Terengganu 3-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV di Kota Bharu, malam kelmarin.

Juara 12 kali itu sukar menembusi benteng Terengganu pada separuh masa pertama tetapi menemui sentuhan selepas masa rehat dengan menghasilkan tiga gol dalam tempoh 35 minit terakhir.

Dengan kekalahan itu, Terengganu dilihat berdepan tugas sukar biarpun akan melayan Kelantan di gelanggang sendiri, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu Isnin depan.

Aksi kelmarin, berlangsung dalam keadaan kurang sempurna ekoran keadaan padang yang becak disebabkan oleh musim hujan yang melanda negeri-negeri Pantai Timur ketika ini.


Begitu pun, dua jaringan daripada penyerang, Mohd. Aris Zaidi meletakkan pemain itu sebagai wira Kelantan manakala satu gol yang disumbangkan Mohd. Ramzul Zahini meletakkan tuan rumah dalam keadaan selesa untuk melangkah ke final buat kali ketujuh dalam tempoh 10 tahun.


Kali terakhir Kelantan menjulang kejuaraan ialah pada tahun 2008 apabila menumpaskan Pulau Pinang pada perlawanan akhir.

Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Kelantan bangkit untuk menguasai permainan pada separuh masa kedua.

Begitupun, mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-55 sebelum Mohd. Aris membuka jaringan hasil gerakan daripada kawasan tengah.

Kelantan seharusnya berupaya menggandakan gol lapan minit selepas itu tetapi Ezrie Shafizi Razali gagal memanfaatkan sepakan penalti yang diberikan oleh pengadil, Shukri Noor.

Begitupun, Mohd. Ramzul memberikan Kelantan kedudukan selesa selepas tandukannya dari dalam kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol Terengganu.

Pada ketika permainan hampir ke penghujung, Mohd. Aris sekali lagi menghasilkan jaringan pada minit ke-90, sekali gus meletakkan Kelantan dalam keadaan selesa, membawa bekalan 3-0 apabila bertandang ke Kuala Terengganu Isnin depan.

"Saya gembira dengan apa yang telah ditunjukkan oleh semua pemain Kelantan," kata pengurus pasukan Kelantan, Nudin Awang ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Menurutnya, kemenangan 3-0 ke atas Terengganu itu cukup bermakna dalam usaha mereka memburu tempat ke perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 13 Disember ini.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan apa yang telah ditunjukkan oleh semua pemain walaupun kita gagal meyudahkan beberapa peluang yang terhidang.

"Begitupun, perlawanan malam ini (kelmarin) adalah yang terbaik pernah dipamerkan oleh Kelantan biarpun beraksi dalam keadaan padang becak," katanya.

Dia juga berharap agar aksi cemerlang itu dikekalkan bagi menghadapi separuh akhir kedua di Kuala Terengganu nanti.

Dalam satu lagi perlawanan, Kedah juga mendapat bekalan selesa apabila menumpaskan Johor 3-1 di Stadium Larkin.

Penyerang Johor, Mohd. Fitri terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ketujuh sebelum Shafizan Hashim menyamakan kedudukan 1-1 buat Kedah menerusi jaringan pada minit ke-40.

Separuh masa kedua menyaksikan Wan Mohd. Asraf Ali meletakkan Kedah di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-67 sebelum penyerang berbisa, Hattaphon Bun Ann melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-77.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...