Saturday, September 18, 2010

Dua gol Baddrol kecewakan Perak

KEDAH mula menemui sentuhan sebenar apabila mudah menewaskan Perak 2-0 untuk menduduki tangga teratas saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Barisan kendalian Ahmad Yusoff sekali lagi bersandarkan kepada kelincahan pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar apabila mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan penjaring gol dalam perlawanan pertama di gelanggang Johor FC, Selasa lalu.

Seawal minit kedua, Baddrol membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma untuk menewaskan penjaga gol muda Perak, Kamarul Affendi hingga menyaksikan penguasaan penuh tuan rumah selepas itu.
Dengan jentera serangan bertali arus dari kiri dan kanan, termasuk dari Khyril Muhymeen Zamri serta ketua pasukan, Sabre Abu yang rajin mengemudi jentera tengah, Kedah terus mencemaskan benteng rapuh Perak yang diterajui K Nanthakumar.

Dan anak buah Raja Azlan Shah Raja Shoib terus menderita apabila Baddrol sekali lagi menggegar gawang apabila rembatan leretnya ke sebelah kanan gagal dibaca Kamarul pada minit ke-40 untuk membolehkan Kedah selesa menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, arus permainan bertukar apabila anak buah Raja Azlan mempamer peningkatan untuk sekali-sekala mencemaskan penjaga gol Helmi Rizal Alias di gawang tuan rumah tetapi terus dibelenggu penyudahan tumpul.

Sebaliknya, Hijau Kuning tampak sudah berpuas hati dengan tiga mata yang diraih hinggalah perlawanan tamat.
Dalam satu lagi saingan kumpulan yang sama di Stadium Selayang, Tentera yang terikat dengan Perak sebelum ini, mengutip satu lagi mata apabila mengikat Johor FC pula 1-1.

sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...